Monday 10 September 2012

dari sudut pencil

berlari kesana kemari,
ada terjatuh, ada terbang tinggi,
kesibukan dini hari dikejar bagai tiada esok lagi,
berlumba mengejar martabat yang tidak pasti.
aku lelah berdiri,
memerhati,
manusia kian lupa pada yang hakiki.

"mamak, teh o' ais, mee goreng 1"

pada raut wajah jelas terpancar lelah,
mungkin itu adat kehidupan,
yang bawah, terus-terusan dihenyak kebawah,
yang diatas menghamba abdi tanpa belas simpati.
baikkah begini?

kepulan asap dihembus keluar,
mati, itu yang bisa aku mengerti.
mungkin si tua tiada terdaya lagi.
lelah menjadi abdi kepada spesis seangkatannya.

"mamak, kenapa dalam mee ada lalat?"

benih dibesar, dibelai manja tidak mengenang jasa.
derita dahulu, kini dan selamanya
kemewahan ditempa, si tua kedut dihumban entah kemana.
meranalah hati, tersiksa jiwa.

sekelumit rasa simpati tiada terzahir,
si tua yang menagih kesenangan hanya mampu terdiam sepi,
berbukulah hati, tiada yang ketahui.
mungkin kerna adat begini,
lupa diri, suatu isu basi
tetapi yang menanggung perit.. kau mengerti?

"mamak kira."

lelahan dilepas kuat,
gelengan deras,
mungkin mereka tidak mengerti,
keperitan terus menghantui diri,
si tua berlalu pergi,
langkahnya longlai, tenggelam dalam lautan manusia.
jika nanti tiada lagi nadi beroperasi,
barulah si lupa diri mahu menyesali.

seantero dunia mengejar dan saling mengejar.
sferakah bumi, bulatkah bumi, tiada dipeduli lagi,
yang pasti,
yang menang, menguasai,
yang kalah, mati
yang membelai, dilupai,
tuhan apakan lagi.







No comments:

Post a Comment