Sunday 20 October 2013

Anak-anak

mutiara dipipi,
mereka kata lembik kau
mulut terkunci,
mereka tanya mana lantangmu
pandang ditunduk sepi,
mereka herdik kau kecut tiada bulu

ambil peduli usah,
biar mereka,
kau perlu gigih,

jatuh, jatuh, jatuh
mereka cuba lagi dan lagi
hina, hina, hina
mereka tak mahu henti
kutuk situ, kutuk sini, kutuk sana
tidak henti selagi tiada puas dihati

biar petir, kilat menyambar
aku kan ada,
menyambut kau terlantar
biar buruk wayang gambar
aku kan ada,
mengusung kau terdampar

dengar, 
dengar bicara beta.

ingat-ingat,
dia yang membanting tulang sasa,
kenang-kenang,
dia yang meneran kau kedunia,
renung-renung,
dia yang mencipta.

apa guna urat dawai timbul,
kalau si penghina buat kau jatuh
apa guna sembilan purnama perut tersembul
kalau si durjana buat kau mengeluh
apa guna kau hirup oksigen hingga kojol,
kalau si takbur buat kau luluh

jalan seiring,
usah toleh keliling,
kita genggam puncak gading.

sampai nanti,
kau pegang langit
mungkin mereka berhenti bingit
sampai nanti,
kau genggam bintang,
mungkin mereka agong kau melayang
untuk sampai ke nanti,
mungkin, bukan mungkin tapi perlu
tabahkan hati itu, sujud pada yang satu

biar sampai kedut,
biar sampai kerepot,
aku kan ada, biarpun terpaksa berlutut,
aku kan ada, biarpun terpaksa mengensot,
hingga enam kaki dalam bumi menyeru dan aku menyahut...


tenanglah hati,
mentarikan terbit nanti
gelapkan beransur pergi
itu janji dari atas sana, dia sang pemerhati.










No comments:

Post a Comment