Wednesday 21 June 2017

Ayah


Suatu malam aku bermimpi, dalam mimpi engkau bawa semua pergi meghadap Illahi, kau tinggalkan aku sendiri didunia ini. Dalam mimpi, air mata ini mengalir. Aku sendiri. Terjaga dari mimpi, aku tatap wajahmu, masih disitu. Mimpi berulang lagi dan lagi. Aku tahu itu tanda. Dalam gelap aku menangis, aku tahu hari itu bakal tiba. Aku harus persiapkan diri.

Aku diduga, diajar secara perlahan untuk menghadapi hari itu. Tuhan uji satu persatu untuk jadikan hati ini beku. Masih aku ingat, satu malam kau hubungi, dalam tangisan kau memanggil. Luluh hati ini, hancur jiwa ini. Kupecut laju tuju kamu. Disitu hanya ada kamu dan aku. malam itu sungguh sayu. Kau menangis, dan aku tahu. Itu mungkin saat akhir aku berdua bersama kamu. Kau pesan padaku untuk sentiasa ada bersama yang lain, jadi pelindung kerana aku anak 'lelaki' kamu.

Masih ingat hari itu? Hari semua mengalirkan airmata tapi aku kaku. 

"I need to tell you something, your father is gonna die and its just the matter of time".
 Aku ingat satu persatu bait kata perawatmu. 

Ilmu kau ajar, aku susun satu persatu dibibir. Disisimu aku berdiri, mengajar khalimah suci. Sebutir demi sebutir kau turuti. Apa yang mereka tidak tahu, yang aku pasti, tuhan pekakkan telinga ini dari mendengar tangisan sayu menyayat hati, tuhan matikan hati dari rasa pedih. Mereka pertikai rasa kasihku padamu kerana tidak setitik aku tangisi. Mereka lupa, aku anak 'lelaki'mu. Aku harus kuat. Nafas akhir itu kau hembuskan dengan tenang. Seusai Izrail tarik engkau pergi, seusai kau lafaz nama tuhan yang kupimpin, aku tersentak. Kau sudah tiada.

Aku tahu kini tiada lagi kata cinta kamu pada aku, aku hilang suara.

Aku tahu kini aku perlu teguh berdiri. aku hilang tempat mengadu.

Aku tahu kini aku yatim. aku hilang kamu.


Persiapan kau menghadap Illahi mudah dan indah. Kucupan terakhir kuberi, aku pilu. Tiada balas dari kamu. Aku lupa kau sudah tiada. Sekujur tubuh kaku itu membunuh aku, merobek hati ini. Kini kau pergi untuk selamanya. 




5 bulan sudah berlalu, banyak yang ingin kukatakan, banyak yang ingin kuluahkan. Tapi tuhan lebih sayangkan kamu. Apalah aku ini jika hendak meminta-minta, cukuplah sekadar kudoakan syurga buat kamu.

ayah, rindu.





No comments:

Post a Comment